Monday, October 17, 2011

Persoalan Objek Seni Sebagai Cerminan Ide

Suatu cabang ilmu sejarah seni yang menjelaskan pokok persoalan atau takrifan makna sesebuah karya seni adalah bidang kajian Ikonografi. Isi kandungan ataupun content ini merupakan pasangan kepada unsur bentukan ataupun form. Begitu juga persoalan ide yang merupakan pasangan objek yang perlu dibincangkan dan dihuraikan. Penakrifan tentang makna form dan content ini pernah dihuraikan oleh Erwin Panofsky (T.M. 1892 – 1968) yang mengkaji tema kemanusiaan dalam seni renaisan.Sebagaimana yang dihuraikannya dalam buku berjudul “ Study of Iconology “.Penganalisisan sesuatu karya seni menurut Panofsky akan melalui tiga peringkat iaitu peringkat awalan atau semulajadi (primary or natural subject matter),peringkat pertengahan atau kelaziman (secondary or conventional subject matter)dan peringkat intrinsic atau makna isi kandungan (intrinsic meaning and content). Menurut Frederick Antal pula dalam menganalisis sesebuah karya seni, ianya semata-mata tumpuan kepada aspek formalistik sahaja. Apabila melihat kepada aspek bentukan dan isi kandungan mereka hanya menitik beratkan kepada bentukan semata-mata sebagai ciri-ciri sesuatu stail seni dan memandang sepi tentang isikandungan sesuatu karya seni itu. Objek kebiasaannya menjadi penyampaian dalam proses penjanaan ide. Ide pula merupakan proses terbitnya sesuatu makna yang cuba dijelaskan dalam sesebuah karya seni. Ketepatan objek yang mewakili ide menjadi tunjang kepada kejayaan sesebuah karya seni.

Otto Dix (1891-1969) di dalam penulisannya yang bertajuk ‘The Object is Primary’ pernah membahaskan bahawa sifat sebagai sesuatu yang baru di dalam ekspresi itu tidak akan dapat dilakukan dengan ianya hanya sebagai ekspresi itu sendiri. Akan tetapi ianya akan terlaksana sekiranya pertimbangan praktikal terhadap objek itu dapat disatukan bersama ekspresi pengkarya. Menurut beliau lagi, elemen baru dalam seni catan bersandarkan kepada penambahbaikan kepada area subjek yang dikaji. Bagi beliau objek adalah menjadi keutamaan dan akan menentukan sesuatu bentuk. Menurut kenyataan beliau, gambaran yang dapat dilihat di sini adalah penting untuk kita mendekati dan menyelami akan sesuatu yang kita lihat. Sehubungan itu,pertanyaan ‘Apa’ itu lebih penting daripada ‘Bagaimana’. Justeru itu, pertanyaan ‘Bagaimana’ itu akan hadir melalui ‘Apa’. Jadi permasalahannya di sini ialah dalam kontek seni visual atau seni reka, sesuatu karya seni yang dihasilkan adalah melalui proses perkembangan ide. Sejauh mana keberkesanan objek iaitu sebuah karya seni yang dihasilkan oleh seniman dalam menyampaikan sesuatu ide kepada penonton menjadi persoalan.

No comments:

Post a Comment